Sunday 30 October 2016

Penekanan Itqan Dalam Pendekatan Pembangunan Insan

Tugasan SYW 502
AZURA DAUD
P-ISM0007/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)



Pendahuluan

Itqan yang juga membawa maksud ketekunan atau kesungguhan[1] dalam mengerjakan sesuatu perkara akan membuahkan hasil yang lumayan. Tidak kira sama ada dalam pekerjaan untuk keperluan duniawi malah yang lebih penting ibadah yang dilakukan untuk pengabdian diri kepada Allah SWT. Antara perkara utama yang membawa kejayaan kepada seseorang insan terutamanya seorang Muslim untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT iaitu melaksanakan perkara yang mengikut ajaran Islam dan meninggalkan perkara yang dilarang (amar ma’ruf nahi mungkar) (Azrin Ibrahim, 2014) dan kesabaran dan kesungguhan dalam usaha yang dilaksanakan dalam sesuatu perkara. Dalam pepatah Arab juga ada menyebut “man jadda wajada” yang bermaksud siapa yang berusaha dengan sungguh-sungguh akan mendapatkan hasil. Hal ini membuktikan kesungguhan yang kuat dapat mencorak insan yang berjaya.

Di dalam pembangunan insan, kesungguhan yang ditekankan dapat membentuk kesepaduan jiwa yang merangkumi elemen jasmani, emosi, rohani dan intelektual untuk terus mencapai kejayaan. Tidak kira apa jua halangan yang mendatang tetap akan ditempuhi dengan yakin dan sabar. Tambahan pula, dunia Islam kini didatangi dengan pelbagai isu yang boleh meruntuhkan kesepaduan umat Islam untuk terus bersama. Jadi, kesungguhan yang jitu dalam memastikan umat Islam sentiasa bersama untuk menentang anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam dalam diri umat.

Kesungguhan Dalam Beribadah

Kesungguhan dalam beribadah bukan sahaja dapat membuktikan bahawa kita sebagai insan yang menjadi hamba soleh kepada Allah SWT malah membuktikan kita adalah insan yang sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya. Kesungguhan dalam beribadah boleh dibuktikan dengan melaksanakan kewajipan rukun Islam yang telah disyariatkan kepada setiap Muslim di muka bumi ini. Selain itu, perkara-perkara sunat juga boleh dilaksanakan dalam melengkapi ibadah wajib yang telah difardhukan. Di dalam Islam, ibadah dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu ibadah asas, amalan-amalan utama dan ibadah umum (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Ibadah asas merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang merangkumi solat, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu. Kesemua ibadah ini akan menguatkan lagi hubungan insan dengan Allah SWT (hablum-minallah) yang akan menjadikan seseorang insan itu kuat dari aspek rohaninya dengan menjadikan pergantungan kepada Allah SWT sebagai perkara utama.

Selain itu, amalan-amalan utama pula menjadi penambah seri kepada ibadah-ibadah wajib yang telah difardhukan. Perkara ini menjadi kecintaan Allah SWT kepada setiap insan yang melaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan. Bagi ibadah umum pula, menjadi pelengkap kepada ibadah lain yang telah dilaksanakan. Ia berbentuk fardhu kifayah yang akan menegakkan hubungan sesama manusia dan alam sekitar yang dibangunkan (hablum-minannas). Pengabdian diri kepada Allah SWT (al-ubudiyyah) dalam ibadah ini menjadikan insan rasa bertuhan dan tidak melakukan perkara yang melalaikan sewenang-wenangnya (Mohd Shukri Hanapi, 2014).

Kesungguhan Dalam Melaksanakan Pekerjaan

Kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan pula, dapat menjadikan usaha yang dilaksanakan lebih bermakna dan mampu memberi kemanisan kepada kejayaan yang dimiliki. Kesungguhan boleh dilakukan dengan usaha yang berterusan terhadap sesuatu perkara. Tidak kira sama ada sama ada kecil atau besar, usaha yang perlu dilakukan perlulah mampu memberi kesan positif kepada seseorang insan. Berusaha dengan melakukan setiap perkara dengan sehabis baik dan daya dapat membuktikan bahawa kita bukan seorang Muslim yang mudah menyerah kalah dan menyalahkan takdir Allah SWT semata-mata. Di dalam surah al-Ankabut ada menyatakan yang bermaksud

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(al-Ankabut, 29:69)

Di dalam surah ini jelas menyatakan bahawa setiap insan yang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan menjadikan Islam sebagai tunjang utama dalam pekerjaan yang dilakukan akan mendapat ganjaran berupa keredhaan Allah SWT yang akan menjadi jambatan untuk seseorang Muslim mencapai mardhatillah iaitu keredhaan Allah SWT. Mardhatillah yang akan menjadi matlamat akhir insan setelah untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat (al-falah)(Muhammad Syukri Salleh, 2003).

Walaupun manusia itu dilahirkan secara fitrah yang sama namun dengan usaha yang berterusan mampu mengubah nasib mereka. Tingkat usaha dalam memperbaiki ibadah dan pekerjaan ke arah kebaikan dapat meningkatkan lagi tahap keimanan dan menurunkan taraf nafsu yang ada dalam diri insan.  Ibu bapa berusaha mendidik anak-anak menjadi soleh, anak-anak berusaha mencapai cita-cita, pemimpin yang dilantik berusaha untuk memajukan negara dan setiap rakyat berusaha membangunkan negara secara bersama adalah antara contoh yang boleh digunakan untuk menonjolkan kesungguhan dalam diri setiap insan di atas muka bumi ini. Namun, keyakinan kepada qada’ dan qadar Allah SWT juga perlu sentiasa mengiringi usaha yang telah dilakukan (Ahmad Munawar Ismail, Zakaria Stapa dan Siti Aishah Suhaimi, 2012). Hanya Allah SWT yang akan menentukan apa yang terbaik buat hamba-Nya. Hal ini, akan menjadikan setiap insan redha dengan ketentuan Ilahi walaupun telah berusaha sehabis daya.

Kesimpulan

Kesungguhan yang tinggi dalam segenap aspek dapat menjadikan insan lebih berjaya dengan usaha yang dilakukan dan yakin dengan setiap perkara yang dilakukan itu adalah atas kehendak Allah SWT. Masyarakat yang lebih berdaya saing dapat diwujudkan dengan terdidiknya setiap insan untuk sentiasa bersungguh-sungguh dengan ibadah dan pekerjaan yang dilakukan. Dengan ini, negara dapat memfokuskan pembangunan ke arah sektor yang lain untuk terus memajukan negara dan menaikkan lagi nama Islam di mata dunia. Masalah-masalah remeh bukan lagi fokus dalam membangunkan negara tetapi lebih menumpukan tujuan ke arah pembangunan yang lebih holistik. 

Bibliografi

Ahmad Munawar Ismail, Zakaria Stapa & Siti Aishah Suhaimi. (2012). Islam dan pembentukan jati diri bangsa Melayu. Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 143-154.

Azrin Ibrahim. (2014). Amalan hisbah di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Shukri Hanapi. (2014). Tasawur Islam dalam pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). 7 prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Norhafizah Abdul Halim. (2015). Pembangunan insan holistik: satu keperluan masyarakat sejagat. http://hafizahabdulhalim.blogspot.my/ (dilayari pada 22 September 2016).

Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)(2016). http://prpm.dbp.gov.my/ (dilayari pada 22 September 2016).




[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)