Friday 11 March 2016

SENI KOMUNIKASI DALAM INSTITUSI

Tugasan 1 (SYW 501)
AZURA DAUD
P-ISM0007/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Seni Komunikasi Efektif Dalam Institusi

Komunikasi yang baik adalah komunikasi yang mampu disampaikan secara terus dan difahami oleh masyarakat atau pendengar dengan berkualiti. Komunikasi itu sendiri adalah satu proses menyampaikan maklumat, perasaan, idea atau pandangan daripada seorang individu kepada individu yang lain. Ia juga dianggap satu seni melalui kaedah penyampaian yang ingin dilaksanakan agar dapat diterima dengan baik memandangkan sikap manusia yang berbagai ragam. Belum tentu sebarang idea atau pandangan yang ingi dilontarkan mampu diterima dengan baik dan memerlukan seni komunikasi yang sangat efektif kerana tujuan berkomunikasi adalah untuk pemberitahuan maklumat, pemujukan, perundingan, pergaulan dan beberapa tujuan lain yang berubah mengikut situasi (Ramlan Ab Rahman, t.t.)

Seni komunikasi yang efektif perlu diterapkan di dalam institusi kerana penyampaian maklumat yang tepat bagi setiap ahli yang terdapat di dalam institusi akan menggerakkan institusi dengan lebih lancar. Sebarang salah faham dalam penyampaian komunikasi akan menyebabkan berlakunya krisis atau konflik dalaman yang boleh menjejaskan operasi institusi dan jika dibiarkan secara berterusan akan memberi kesan kepada falsafah pengurusan yang ada. Setiap ahli di dalam institusi harus peka dengan maklumat yang disampaikan supaya tidak berlaku sebarang masalah dalam proses penyampaian maklumat sama ada dari pihak atasan ke pihak bawahan atau sebaliknya. Di dalam instistusi pembelajaran misalnya komunikasi efektif amat penting dalam proses penyampaian ilmu dan kefahaman yang jelas terhadap ilmu yang disampaikan amat diperlukan. Ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah perlu dijelaskan dengan sebaiknya supaya umat Islam tidak salah dalam melaksanakannya dan faham akan kepentingan ibadah yang telah difardhukan ini (Ibrahim Elfiky, 2010).  

Masalah yang sering terjadi di dalam komunikasi efektif ini adalah apabila terdapat segelintir ahli yang mengambil sikap endah tak endah dengan maklumat yang disampaikan dan menganggap tanggungjawab perlaksanaan hanya untuk pihak tertentu sahaja. Hasil daripada sikap ini akan menyebabkan gerak kerja operasi akan terganggu dan matlamat yang ingin dicapai tidak kesampaian. Komunikasi efektif yang berkesan adalah apabila semua ahli di dalam institusi mengambil tahu akan perkara yang disampaikan dan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab secara berhemah. Peringatan secara berterusan dilaksanakan sehingga perkara yang ingin disampaikan terlaksana dengan cemerlang (Zainuddin Zakaria & Ziadatul Hidayah Zakaria, 2006).

Seni komunikasi yang efektif mampu menjadikan perjalanan operasi sesuatu institusi lebih lancar dan pengurusannya lebih teratur. Masyarakat juga akan lebih mempercayai dengan institusi yang mampu melaksankan operasinya dengan lancar dan berkualiti. Lukman al-Hakim juga pernah berpesan kepada anaknya mengenai komunikasi dan boleh dijadikan tauladan oleh umat Islam apabila berbicara tidak kira apa jua pangkat atau kedudukan yang dimiliki. Kata-katanya berbunyi

"Wahai anakku! Berhati-hatilah terhadap tutur kata dan bicaramu, peliharalah budi bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya seolah mereka telah mendapat barang yang amat berharga darimu"

Dengan ini, tiada lagi konflik yang boleh memecah belahkan sesuatu institusi yang berpunca daripada komunikasi yang kurang baik.

Rujukan
  1. Ramlan Ab Rahman.(t.t.), Komunikasi Efektif, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
  2. Zainuddin Zakaria & Ziadatul Hidayah Zakaria.(2006), Komunikasi efektif, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
  3. Ibrahim Elfiky (2010), Terapi komunikasi efektif dengan metode praktis Neuro-Linguistic Programming (NLP), Mizan Media Utama.

No comments:

Post a Comment