Saturday 21 May 2016

SENI KOMUNIKASI DALAM INSTITUSI


Tugasan 3 (SYW 501)
AZURA DAUD
P-ISM0007/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Komunikasi Menurut Perspektif Islam

Komunikasi adalah satu perkara yang boleh terjadi dalam bentuk lisan, bahasa tubuh, boleh terjadi dalam pelbagai bahasa dan melalui proses tertentu dalam perlaksanaannya. Di dalam Islam, umatnya disarankan untuk bercakap perkara yang berfaedah dan mampu memberi manfaat kepada insan lain dan jika perkara yang ingin disampaikan itu boleh menimbulkan natijah buruk adalah digalakkan untuk diam seperti di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik atau diam".
(Muslim,No Hadith: 67 & Bukhari,No Hadith: 5559)

Perkara yang berfaedah dalam komunikasi yang boleh memberi kesan positif sama ada kepada individu atau masyarakat adalah seperti memberi nasihat, menyampaikan dakwah dan menyeru umat ke arah kebaikan yang berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Setiap perkara yang bermanfaat ini akan dikira sebagai ibadat. Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda

"Sampaikanlah dariku sekalipun satu ayat dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (dosa). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka".
(Bukhari, No Hadith: 3202)

Komunikasi seseorang pemimpin di dalam Islam menggariskan beberapa perkara tertentu sebelum iaitu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan (Mohd Yusuf Hussain, 1995). Syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu mempunyai sifat-sifat mahmudah antaranya berilmu, adil, berani, pemaaf, bertimbang rasa, menepati janji, benar, tegas, tawadu' (merendah diri) dan sifat-sifat mahmudah yang lain dan perlu membuang sifat-sifat mazmumah. Sifat-sifat ini adalah sifat terpuji yang akan menonjolkan kebaikan seseorang pemimpin di dalam Islam. Selain itu, memelihara hubungan baik dengan Allah (habl min Allah) dan memelihara hubungan baik dengan manusia dan sumber alam (habl min al-nas). Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dan Mohd Shukri Hanapi (2014) menyatakan habl min Allah dan habl min al-nas merupakan elemen penting di dalam tasawur Islam yang akan membentuk pembangungan Islam. 

Komunikasi yang terbaik di dalam Islam boleh dicontohi melalui kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. Kaedah komunikasi yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w adalah secara berhikmah dan mampu melembutkan hati-hati musuhnya. Walau dalam apa jua keadaan Rasulullah s.a.w akan menunjukkan contoh terbaik kepada umatnya. Keberkesanannya terbukti apabila Rasulullah s.a.w telah berjaya mempengaruhi dan menguasai masyarakat Yahudi walaupun pada mulanya mereka bersikap kasar, bengis dan biadap (Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, 2011).

Kesan daripada komunikasi yang baik bagi seorang pemimpin yang mengikut cara Rasulullah s.a.w akan mewujudkan satu institusi Islam yang mampu mengikut hukum syarak dengan baik dan berkesan. Visi dan misi untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur yang berpandukan kepada al-Quran dan sunnah yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w. Dengan ini, sebarang salah faham yang berlaku dalam institusi dapat diatasi dengan cara yang berhikmah dan adil dengan kebijaksanaan pemimpin yang mengikut kaedah komunikasi di dalam Islam.

Bibliografi

1. Mohd. Yusof Hussin. (1995). Komunikasi kepimpinan dari perspektif Islam dalam Kecemerlangan Pentadbiran, Dasar dan Amalan Dalam Islam. INTAN. 
2. Mohd Azrul Azlen Abd Hamid.(2011). Pendekatan psikologi Rasulullah s.a.w dalam Solusi Isu 38.Telaga Biru Sdn. Bhd.
3. Muhammad Syukri Salleh. (2003). 7 prinsip pembangunan berteraskan Islam, Zebra Editions Sdn. Bhd.
4. Mohd Shukri Hanapi. (2014). Tasawur Islam dan pembangunan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment